KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,147 surau di seluruh negeri ini menerima perkenan mendapat Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu naskhah al-Quran bertulisan tangan kurniaan Sultan Terengganu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Sheikh Harun Ismail berkata, setiap surau terbabit menerima lima naskhah mushaf terbabit.
Beliau berkata, penyerahan tersebut sebagai menjunjung titah baginda agar Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan dapat dimanfaatkan oleh umat Islam negeri ini.
“Inisiatif ini bagi memperkukuhkan lagi kecintaan al-Quran dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Bukan sahaja mahir membacanya malah mendalami isi kandungan al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan kepada wakil surau-surau seluruh Terengganu.
Shaikh Harun berkata, Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang menerapkan seni hiasan beridentitikan Terengganu. merupakan tulisan tangan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Ahmad Zafuan Embong.
Beliau berkata, mushaf yang diterbitkan pada dua tahun lalu juga akan diedarkan mushaf ke semua surau sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu selepas ini. – KOSMO! ONLINE