KOTA TINGGI – Sebuah jambatan yang juga merupakan laluan utama penduduk di Felda Air Tawar 1 di sini runtuh ekoran hujan lebat dan banjir kilat yang melanda kampung itu awal pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata jalan itu digunakan oleh 90 peratus penduduk kampung untuk membeli barang keperluan harian.
“Kita mohon pihak jabatan terlibat membantu saya dan masyarakat untuk membaiki jambatan ini sekurang kurangnya supaya boleh digunakan untuk jangka masa pendek termasuklah wujudkan jambatan berbentuk sementara untuk kemudahan masyarakat di Felda ini.
“Ditambah pula menjelang seminggu lagi kedatangan Syawal penduduk masing-masing hendak membeli keperluan hari raya di kedai yang terletak di jalan itu.
“Manakala jalan alternatif yang ada agak jauh dan berpusing dalam kawasan perumahan sejauh kira-kira satu kilometer lencongan dan agak memakan masa,” katanya ketika ditemui selepas melawat jambatan runtuh itu di Felda Air Tawar 1, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Air Tawar 1, Abdul Rashid A. Samad berkata, kejadian jambatan runtuh itu berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi disebabkan banjir kilat yang melanda kampung itu.-KOSMO! ONLINE