PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kunjungannya ke Sabah meskipun cuma dalam tempoh yang singkat, tetapi tetap bermakna.
Menurut Perdana Menteri, kunjungan tersebut adalah penting dalam merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Sebagai jambatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama dan kebersamaan semua pihak menerusi payung perpaduan mengukuhkan lagi keharmonian rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah yang berbilang latar belakang dalam memacu negeri ini ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.
Anwar tiba di Kota Kinabalu, Sabah semalam antara lain untuk menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang turut disertai oleh Ketua Menteri.
Beliau kemudian ke Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran yang dihadiri ribuan masyarakat tempatan dalam suasana penuh harmoni. – KOSMO! ONLINE