KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan koperasi tempatan agar menjalankan aktiviti berkaitan sektor sekuriti makanan yang berpotensi tinggi dan menyokong inisiatif kerajaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Amran Abd. Kadir berkata, agensinya menyokong usaha tersebut dengan menyediakan pembiayaan bercagar sehingga RM3 juta.
“Program Agromakanan terbabit menawarkan pembiayaan tanpa cagaran berjumlah RM650,000 bagi pengeluaran peringkat awal perniagaan berkaitan keselamatan makanan,” katanya selepas
merasmikan majlis Apresiasi Koperasi peringkat Terengganu di sini semalam.
Amran berkata, koperasi disaran memanfaatkan kemudahan kredit terbabit untuk digunakan sebagai perbelanjaan modal kerja pembangunan projek agromakanan.
Beliau berkata, setakat ini hanya empat koperasi di Terengganu memanfaatkan perbiayaan terbabit sejak tahun 2023.
“Kesemua koperasi itu memperolehi pembiayaan tanpa cagaran antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi setiap projek.
“Ia melibatkan projek rumput napier, ternakan lembu, ikan keli dalam sangkar dan buah Melon Manis Terengganu,” katanya.
Amran berkata, antara koperasi terbabit ialah Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad dan Koperasi As-Salam Terengganu Berhad. – KOSMO! ONLINE