PETALING JAYA – Digesa minta tukar tarikh konsert yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia, penyanyi Datuk Amy Search berseloroh agar peminat tidak perlu menonton perlawanan tersebut yang semestinya dimenangi Johor Darul Ta’zim (JDT).
Semuanya gara-gara seorang peminat yang menyuarakan perkara terbabit kerana konsert anggota kumpulan Search itu akan diadakan di Axiata Arena bersebelahan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 April hadapan.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang.
“Mana pernah JDT kalah,” katanya kepada peminat terbabit.
Sementara itu, peminat terbabit menyokong kenyataan Amy sekali gus dipercayai bakal menghadiri Konsert Amy Search Magic First Solo Concert kelak.
“Terbaik Datuk (Amy). Betul juga.
“Baiklah saya ‘on’ (hadir) konsert Amy,” tuturnya.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, berkata konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Feb lalu di www.wowtix.com.my. – KOSMO! ONLINE