PETALING JAYA – Orang ramai membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki seminggu lagi dipercayai menjadi punca jalan raya di sekitar ibu negara sesak teruk malam tadi.
Menerusi tinjauan di media sosial, orang ramai berkongsi keadaan jalan raya di kawasan masing-masing hingga ada pengguna yang terperangkap selama satu jam meskipun destinasi yang dituju hanya beberapa kilometer (km).
Antara kawasan yang dilaporkan mengalami kesesakan teruk di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Seorang pengguna X, Syirman berkata, dia terpaksa membatalkan niat untuk ke MITEC selepas semakan di aplikasi Waze mendapati perjalanan mengambil masa 40 minit meskipun jaraknya cuma 1km.
“Tadi aku cuba untuk pergi bazar raya kat MITEC. Lagi 1km nak sampai, tapi Waze tunjuk (ambil) masa 40 minit.
“Tak fikir panjang, kalih (tukar) stereng terus balik rumah, 15 minit sampai rumah dah. Hujan dan jem (kesesakan) KL malam ini tak boleh bawak bincang,” katanya.
Sementara itu pengguna dikenali sebagi Zura berkata, jalan sesak di sekitar MITEC yang berlarutan sehingga pukul 2 pagi menyebabkan dia serik untuk mencari pakaian raya pada saat-saat akhir.
“Dulu-dulu cari baju raya last minute (saat akhir) rasa seronok. Tapi, jem teruk sangat sampai 2 pagi pun ramai lagi manusia. Serik rasa, tahun depan kena cari baju awal,” katanya.
Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Iem berkata, dia bersyukur mengambil keputusan pergi ke MITEC pada sebelah petang bagi mengelak kesesakan teruk.
“Syukur datang awal tadi. Datang sebelum berbuka puasa, sampai pukul 7 malam tak jem langsung. Beli makanan berbuka di gerai, surau di tingkat 2 dan pusing-pusing dewan pun selesa orang tak ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE