GUA MUSANG – Pengguna jalan raya terpaksa menanggung kerugian hampir RM150,000 apabila 25 kes kemalangan melibatkan lembu berkeliaran dilaporkan berlaku di daerah ini dalam tempoh dua bulan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggaran jumlah kerugian itu dicatatkan pada Januari dan Februari lalu.
Sehubungan itu, penternak perlu lebih bertanggungjawab untuk memastikan agar binatang ternakan mereka tidak berkeliaran di jalan raya terutama pada waktu malam sehingga mengakibatkan kemalangan.
“Semua penternak terutama yang memelihara lembu perlu menambat atau mengurung ternakan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
“Pada Januari dan Februari lalu, sebanyak 25 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan dilaporkan dengan jumlah kerugian RM150,000,” katanya.
Choon Foo memberitahu, kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh dan Felda Chiku dilaporkan kerap berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang Ahmad Hamdan Ubaidah berkata, sebanyak 20 tangkapan haiwan berkeliaran membabitkan empat ekor kambing dan 16 lembu ditangkap sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE