SEOUL – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh ketika kebakaran hutan yang didorong oleh angin kencang melanda kawasan di wilayah tenggara Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap hari ini.
Dalam kebakaran itu, enam orang lagi cedera, manakala kira-kira 1,500 penduduk telah dipindahkan.
Lima daripada enam individu yang cedera berada dalam keadaan parah.
Kebakaran bermula di daerah Sancheong, kira-kira 250 kilometer ke tenggara Seoul kelmarin sebelum ia merebak ke bahagian lain.
Timbalan Ketua Pusat Kawalan Bencana, Lee Han-kyung mengarahkan pihak bomba untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi mengawal kebakaran hutan dengan segera.
“Kebakaran liar merebak dengan pantas ke kawasan yang lebih luas disebabkan cuaca kering (dan) mengancam nyawa orang ramai,” katanya dalam mesyuarat tindak balas bencana.
Kira-kira 3,300 hektar tanah yang bersamaan dengan kira-kira 4,600 padang bola sepak telah terbakar setakat hari ini.
Seramai kira-kira 1,500 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara ketika pihak berkuasa meneruskan usaha untuk mengawal kebakaran.
Setakat pukul 8 pagi (waktu tempatan), anggota-anggota bomba masih berusaha untuk memadamkan kebakaran hutan di empat kawasan di seluruh wilayah tenggara.
Pemangku Presiden, Choi Sang-mok telah menggesa semua usaha dilakukan untuk memadamkan kebakaran tetapi angin kencang menghalang usaha di tempat kejadian. – AGENSI