BANGKOK – Satu pertelingkahan ganas tercetus akibat sikap sekumpulan remaja yang berebut-rebut mahu membeli beg tangan berjenama edisi terhad buatan tempatan di luar sebuah pusat beli-belah utama di Bang Yai, Thailand, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Video kejadian disiarkan di laman Facebook dengan kapsyen: “Kekacauan remaja yang mahukan beg Merge di hadapan Central Westgate sekarang.”
Ia kemudian menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Ini boleh dielakkan jika beg itu dijual di internet,” tulis seorang netizen.
Laporan media tempatan menyebut, sebahagian remaja yang beratur telah membayar ratusan baht untuk hadir dan menempah tempat untuk mereka yang benar-benar mahu membeli beg itu.
Sebilangan pengkritik bagaimanapun mempersoalkan tindak balas keselamatan gedung membeli-belah itu.
Mereka mengetengahkan banyak aduan yang diterima berhubung jenama itu serta mengkritik kekurangan tindakan yang diambil untuk menangani isu permintaan tinggi.
Susulan insiden tersebut, jenama Merge yang membuat promosi beg berharga 2,490 baht (RM326) seperti dipaparkan dalam video tersebut mengumumkan penggantungan jualan untuk produk itu. – AGENSI