JITRA – Semua pihak diminta untuk terus menjaga sensitiviti agama masing-masing dan bertenang dalam menghadapi setiap perkara berbangkit termasuk berkaitan isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, beliau percaya isu itu dapat diselesaikan secara berhikmah dan damai.
“Kita rujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), itulah kenyataan dan keputusannya. Kita biarkan proses itu berjalan dengan baik.
“Dengan semangat Ramadan ini, insya-Allah kita akan dapat menyelesaikan (isu penempatan semula kuil) secara berhikmah dan damai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Wanita Darulaman Bertadabbur di Pusat Pendidikan Al Azhar, mukim Gelong, di sini hari ini.
Katanya, segala keputusan yang dibuat berhubung isu berkenaan adalah demi kepentingan rakyat berbilang kaum dan negara.
“Mesejnya adalah mesej perpaduan dan keharmonian. Keputusannya adalah untuk kepentingan bersama, kepentingan Malaysia dan insya-Allah ia akan berjaya diselesaikan sebaiknya dengan mengambil kira semua perkara.
“Jadi kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita berdamai dan bertenang. Insya-Allah fokus untuk membangunkan negara kita,” ujarnya.
Kosmo! pada kelmarin melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India itu.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.
Anwar berharap supaya tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat ditangani dengan baik. – KOSMO! ONLINE