PETALING JAYA – Sambutan Aidilfitri pelakon Datin Sofia Jane tahun ini lebih bermakna kerana bakal menyambut kehadiran cucu sulung yang dijangka lahir pada hujung bulan ini.
Menurut Sofea, 53, beliau telah lama menanti kehadiran cucu sementelah anak sulungnya Arissa telah berkahwin dengan lelaki asal Jerman, Maximilian Lotz sekitar enam tahun lalu dan menetap di Eropah.
“Tidak sabar untuk tunggu kelahiran cucu sulung saya. Ya, saya akan bercucu, itulah proses kehidupan, saya menjadi anak dara, ibu dan tidak lama lagi menjadi nenek. Saya sangat teruja. Doakan semuanya selamat,” ujar Sofia.
Tambah Sofia, beliau dan suaminya akan terbang ke Eropah untuk bersama suaminya pada Ahad (hari ini) untuk meraikan Aidilfitri sekali gus bersiap sedia menjadi ‘bidan’ menjaga anak dan cucunya ketika tempoh berpantang.
“Persediaan, sayalah yang akan menjadi mak bidan. Saya akan uruskan anak dan cucu. Sebenarnya, saya sendiri sudah tidak ingat bagaimana untuk berpantang sebab sudah terlalu lama (ketawa).
“Tetapi semasa hari kejadian, rasanya saya boleh lakukan semua sendiri seperti memakaikan bengkung, memasak dan menjaga bayi yang baru lahir,” kata Sofia.
Demi kesihatan anak sulungnya selepas proses kelahiran, Sofia yang juga kacukan Inggeris – Melayu itu memilih untuk menggunakan cara tradisional dan juga saintifik (moden) ketika tempoh berpantang.
“Saya suka kombinasi kedua-duanya saintifik dan adat kita. Jika dahulu kita perlu tunggu orang (bidan) datang rumah untuk buat semua, tetapi sekarang semuanya boleh buat sendiri.
“Di pasaran terdapat banyak produk tempatan untuk berpantang yang bagus dan telah siap sedia dan dipermudahkan. Jadi, sebagai ibu saya boleh jaga anak sendiri,” tutur Sofia.
Tambah Sofia, disebabkan bakal menyambut cucu sulung, persiapan Aidilfitri dilakukan secara santai.
“Saya akan berada di Eropah selama sebulan. Paling genting adalah menyambut cucu sebab kita tidak tahu bila dia akan lahir, sama ada sebelum raya atau selepas raya.
“Jadi, sambutan raya santai sahajalah sekali jalan. Selepas itu saya perlu pulang ke Malaysia kerana pada Mei saya akan bekerja dengan Ida Nerina menerusi teater Visits.
“Saya pernah lakonkan teater Visits sebelum ini, tetapi kali ini saya akan berkongsi pentas bersama Nabila Huda dan Nadia Aqilah,” kata Sofia yang ditemui pada sidang media filem Mencari Ramlee.
Filem Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal yang telah diperam selama dua tahun akhirnya bakal menemui penonton pada 19 Jun 2025.
Selain Sofia, filem Mencari Ramlee turut dibintangi oleh Tony Eusoff, Mimi Lana dan penampilan istimewa bintang ternama seperti Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Anas Ridzuan, Bront Palarae, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah serta Vanidah Imran, – KOSMO!ONLINE.