fbpx

9 beradik bukan Islam sepakat, jaga dua anak buah Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejak umur setahun Aleyana (kiri) beraya tanpa ibu, ayah.

TAMPIN – Sembilan beradik sepakat menjaga dua anak buah mereka yang beragama Islam sejak kematian ibu bapa pada tahun 2018 akibat sakit kanser.

Liza Dal, 46, berkata, hanya arwah kakaknya, Jayana Dal, yang merupakan anak ke lapan memeluk Islam, sementara adik-beradik lain termasuk dirinya masih kekal dengan kepercayaan masing-masing.

Bagaimanapun menurut Liza, anak buahnya itu iaitu Muhammad Aliff Kasmat, 13, yang kini bersekolah di asrama di Kuala Lumpur di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Aleyana Fathia Kasmat, sembilan, yang merupakan murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Senibai di Johol, Kuala Pilah tetap dijaga dengan baik.

“Saya juga sangat menitik beratkan apa makanan yang haram dan halal. Kami akan terus pastikan anak-anak kakak ini dapat terus mengamalkan ajaran Islam walaupun berbeza agama,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Semarak Aidilfitri Program Baju Raya De Johol, di sini, hari ini.

Menceritakan mengenai kisah dua anak saudaranya itu bergelar anak yatim piatu di usia muda, dia menyatakan abang iparnya itu disahkan meninggal dunia pada 4 September 2018 akibat kanser darah, manakala, kakaknya, Jayana Dal meninggal dunia 18 November tahun yang sama akibat kanser usus.

“Ikutkan, maknya (ibu Aleyana) yang awalnya disahkan sakit kanser usus, hampir setahun suami kakak (Kasmat) urus kakak keluar masuk hospital. Tiba-tiba suami kakak pula disahkan sakit kanser darah,” katanya.

“Jadi masa tu mak dan ayah saya masih hidup mereka jaga, kemudian bila kedua ibu bapa saya tiada, kami adik-beradik lah yang bergilir-gilir jaga,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, tahun ini sebanyak 120 kanak-kanak terpilih menjadi peserta membabitkan lapan buah sekolah rendah serta tiga sekolah menengah.

“Bukan hanya baju raya, peserta juga boleh memilih apa sahaja perhiasan raya dengan nilaian RM200 seorang. Jadi tahun ini, ada yang beli cermin mata, beg tangan dan sebagainya.

“Malah, lebih mengusik hati saya, ada peserta yang mengambil barangan seperti dua dompet dan apabila ditanya katanya mahu berikan kepada adik-beradik yang lain,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI