PETALING JAYA – Sikap segelintir individu yang culas membayar hutang, namun tetap berbelanja mewah makin mendapat perhatian.
Terbaharu, beberapa pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa apabila peminjam yang sebelum ini berjanji untuk melunaskan hutang dilihat berbelanja sakan sempena Aidilfitri termasuk memuat naik gambar dan video di Instagram dan TikTok.
Malah, ada segelintir individu yang tanpa segan silu mempamerkan barangan berjenama serta pakaian baharu berpasang-pasang sebagai persiapan menyambut Aidilfitri hujung bulan ini.
“Kalau tak ada duit, kita boleh faham kenapa lambat bayar hutang. Tapi tengok status (hantaran) InstaStory ‘shopping’ sakan, itu yang sakit hati. Minta bayar hutang, alasan tak ada duit, mungkin semua barang-barang raya orang baik hati belanja dia,” kata Asyura.
“Memang lumrah pemberi hutang beraya ala kadar, peminjam pula beraya kalah anak presiden,” perli Shahrol.
“Yang ‘best’ pemberi hutang pakai baju RM70, yang berhutang pakai baju RM300. Miskin sungguh pemberi,” kata Siti Marhanie.
“Ramai yang bila meminjam merayu menangis macam-macam berjanji nak pulangkan bagai. Bila dah dapat punyalah liat nak membayar. Aku taubat memang tak adalah aku nak bagi pinjam. Kalau ada aku niat sedekah je,” kongsi Eim Cassa. – KOSMO! ONLINE