SKUAD Harimau Malaya sedia untuk melakukan siri ‘jelajah’ Malaysia selepas memberi ruang buat Johor untuk menjadi tuan rumah pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengakui perkara itu tidak mustahil jika fasiliti dan venue di negeri-negeri terbabit bersedia untuk menganjurkan perlawanan bertaraf antarabangsa.
Kata Joehari, pihak FAM tidak mempunyai masalah untuk membawa skuad negara terbang termasuk ke Sabah atau Sarawak jika ada keperluan pada masa akan datang.
“Saya rasa perkara itu tidak mustahil, tetapi itu berpandukan kepada kesesuaian atau keadaan semasa stadium di negeri berkenaan. Jika layak untuk menganjurkan aksi antarabangsa, kenapa tidak?
“Pihak FAM tidak ada masalah untuk membawa (skuad Harimau Malaya) ke mana-mana negeri yang dilihat sesuai termasuk Sabah atau Sarawak,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara sebelum ini pernah beraksi di venue alternatif sekiranya ‘kandang’ utama, Stadium Nasional Bukit Jalil sedang dalam fasa proses baik pulih.
Selain Stadium Sultan Ibrahim, antara venue lain yang pernah menjadi ‘home’ buat skuad kebangsaan seperti Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu) dan Stadium Hang Jebat (Melaka).
Sementara itu, Mohd Joehari turut berharap ramai peminat setia skuad negara dapat turun menyokong Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim dalam usaha memburu tiga mata pertama pada saingan Kumpulan F nanti.