MEMELIHARA kucing pada masa kini memerlukan modal yang besar apatah lagi jika membeli kucing hibrid dari luar negara yang boleh mencecah puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk seekor. Ini kerana, kucing ini melibatkan kacukan baka yang sukar didapati dan hidup liar serta memerlukan ujian genetik tertentu bagi menghasilkan baka terbaik.
Maka, tidak hairanlah harga seekor kucing itu boleh membeli sebiji kereta. Berikut CitaRasa kongsikan lima baka kucing termahal di dunia menurut Cats.com.
Savannah
KUCING Savannah mendahului senarai baka kucing paling mahal. Savannah ialah baka hibrid kacukan kucing domestik dan kucing liar Afrika. Pembiakan Savannah sukar dan mahal. Penternak perlu mendapatkan satu atau lebih kucing liar Afrika yang memerlukan kos sangat tinggi untuk menempatkannya dan memberi makan.
Pembiakannya sangat mencabar kerana induk betina boleh mengalami masalah semasa bunting. Savannah jantan pula tidak selalu subur sekali gus merumitkan. Ia diingini kerana penampilan eksotik dan personaliti uniknya. Harga seekor boleh mencecah AS$1,500 (RM6,600) – AS$25,000 (RM111,000) bergantung generasi dengan jangka hayat 12 hingga 15 tahun.
Sphynx

SPHYNX adalah baka kucing tidak berbulu tertua di dunia. Kisahnya bermula pada 1960-an apabila seekor anak kucing botak bernama Prune dilahirkan dalam sekumpulan anak kucing berbulu penuh. Keguguran rambut Prune adalah disebabkan oleh mutasi genetik semula jadi. Baka ini pada asalnya dipanggil kucing tanpa bulu Kanada, tetapi nama Sphynx kemudiannya diterima pakai.
Untuk membiakkan kucing ini sangat mahal kerana penternak perlu melakukan ujian kesihatan dan ujian genetik pada Sphynx dewasa.Harga seekor kucing baka ini boleh mencecah AS$1,800 (RM8,000) – AS$3,000 (RM13,300) dengan jangka hayat 13 hingga 14 tahun.
Peterbald
PETERBALD dicipta dengan kacukan baka Rusia tanpa rambut yang dipanggil Don Sphynx dengan Oriental Shorthair. Pembiakan kucing ini sangat rumit, penternak perlu berhati-hati memilih pasangan kucing kerana ia melibatkan genetik bulu.
Oleh kerana terdapat sedikit penternak membiak baka ini, maka harganya cenderung meningkat lebih tinggi. Baka kucing berasal dari Rusia ini sangat disayangi kerana penampilan yang unik dan personaliti menawan.
Berat kucing dewasa boleh mencecah 2 hingga 4kg dengan jangka hayat 10 hingga 12 tahun. Peterbald dijual pada harga AS$1,700 (RM7,500) hingga AS$3,000 (RM13,300) seekor.
Bengal

BENGAL juga merupakan baka hibrid. Ia dicipta dengan kacukan kucing domestik dan spesies kucing liar kecil yang dipanggil kucing liar Asia. Kucing berasal Amerika Syarikat ini boleh mencapai berat 2 hingga 6 kilogram (kg) bagi dewasa dan berjangka hayat 12 hingga 20 tahun.
Seekor boleh mencecah harga AS$1,500 (RM6,600) hingga AS$3,000 (RM13,300). Corak seperti bintik roset sangat diingini pencinta kucing ini yang memberikannya penampilan ‘liar’ dan unik.
Parsi

BAKA kucing berasal dari Iran ini mempunyai bulu panjang dan cantik, wajah rata serta personaliti ‘manis’. Pembiakannya sangat mencabar dan menelan kos tinggi. Ini kerana, baka kucing ini terdedah beberapa keadaan kesihatan genetik termasuk penyakit buah pinggang polikistik (PKD), kardiomiopati hipertrofik (HCM) dan atrofi retina progresif (PRA). Penternak perlu lakukan ujian menyeluruh ke atas kucing dewasa sebelum melakukan pembiakan untuk mengelak masalah kesihatan itu diturunkan kepada anak kucing.Berjangka hayat 14 hingga 15 tahun, ia dijual dengan harga AS$1,300 (RM5,700) hingga AS$3,000 (RM13,300) seekor.