fbpx

Farahdhiya selesa berbaju kurung kapas ‘kosong’ di hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
farahdhiya berbaju kurung moden dan berselendang dalam satu penampilan berbuka puasa baru-baru ini.

MENYEDIAKAN busana indah pada setiap lebaran bagaikan satu perkara wajib yang dilakukan terutama buat golongan selebriti.

Bagi pelakon dan penyanyi cantik, Farahdhiya Mohd Amin, persiapan untuk menyambut Syawal telah dibuat lebih awal bagi mengelakkan daripada kekalutan di saat akhir.

“Baju raya dan kuih raya semua sudah saya sediakan sebelum Ramadan. Awal-awal puasa saya sudah persiapkan baju raya, jadi apabila menghampiri hari raya saya tidak perlu banyak berfikir atau membuat persediaan pada saat akhir.

“Tahun ini saya menempah baju raya sebanyak enam hingga tujuh pasang, tetapi ada juga baju yang saya beli kerana ada yang digunakan untuk membuat persembahan,” katanya kepada CitaRasa.

Bercerita tentang lebaran, Farahdhiya lebih selesa memakai baju kurung daripada jenis kapas tanpa corak bagi memudahkan dirinya untuk bergerak.

“Memandangkan hari raya pertama itu sibuk melayan tetamu yang datang dan memasak, jadi saya lebih suka mengenakan baju kurung kapas kosong kerana tidak terlalu panas dan menyerap peluh. Maklumlah di dapur asyik memasak, jadi agak panas sedikit.

“Sekiranya ingin beraya atau membuat persembahan dan kerja, barulah saya akan sediakan baju yang cantik untuk melaram,” katanya.

Farahdhiya mengakui dirinya seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan bagi memastikan keselesaan saat menggayakannya.

Sesekali Farahdhiya gemar menyerikan busana dengan tali pinggang.

Katanya, setiap apa yang dipakai perlu memberikan keselesaan, lebih-lebih lagi ketika berada di atas pentas. Bahkan pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu bijak dalam membuat pilihan rona dan corak pakaian yang sesuai digayakan.

Hadir ke beberapa acara majlis berbuka puasa, Farahdhiya muncul mengenakan baju kurung potongan moden dengan hiasan corak bunga kecil. Gaya tersebut menyerlahkan penampilannya yang tinggi lampai selain keayuan diri.

Pemilihan warna terang seperti jingga dan hijau emerald membantu penampilan selain sepadan rona kulitnya. Sesekali dia akan gayakan dengan selendang yang digantung pada tangan membantunya untuk tampil persis wanita Melayu terakhir.

Bagi menaik seri pesona sebagai selebriti, hiasan renda sulaman tampal atau lace akan melengkapi bahagian pergelangan tangan dan bawah baju untuk menaikkan seri pakaian.

“Sejujurnya saya seorang yang sangat cerewet tentang gaya, terutama baju untuk buat persembahan. Saya selalunya buat rekaan sendiri dan jelaskan secara keseluruhan tentang apa yang saya mahukan kepada pereka.

“Saya akan maklumkan kepada mereka mengenai potongan leher tidak terlalu lebar agar pakaian tersebut bersesuaian dengan majlis dihadiri lebih-lebih lagi kalau melibatkan majlis buka puasa atau sambutan Aidilfitri.

“Bahagian pinggang pula saya kadangkala akan letakkan tali pinggang sebagai hiasan bagi memberikan sedikit kelainan pada potongan baju,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farahdhiya juga mengakui dirinya tidak berdepan dengan transformasi fesyen apatah lagi menjadikan barisan selebriti antarabangsa sebagai rujukan.

“Tidak banyak gaya saya berubah sejak dulu hingga sekarang. Saya pula bukan sejenis yang suka tengok atau terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat.

“Perasaan suka untuk melihat apa yang dipakai atau fesyen selebriti ketika hadir ke anugerah itu ada, tetapi bukan itu yang saya mahukan,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI