MANCHESTER – Manchester United tidak mempunyai pilihan kecuali perlu muncul juara Liga Europa dan layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan ketika kedudukan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris sangat mengecewakan.
Kejuaraan Liga Europa dan layak ke saingan utama pentas Eropah dengan tiket tersebut bakal membolehkan impian mereka mendapatkan pemain yang sekian lama diburu menjadi kenyataan.
United dikaitkan dengan perpindahan pemain pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite sejak beberapa jendela lalu, namun kali ini mereka hanya mampu meyakinkan pemain itu sekiranya berjaya beraksi di saingan UCL.
Musim ini menyaksikan Branthwaite berjaya mempamerkan aksi cemerlang di bawah kendalian Sean Dyche dan David Moyes biarpun Everton turut bergelut di kelompok bawahan menyebabkan United belum memudarkan minat mereka.
Berdasarkan laporan, United sedang menyiapkan dana sebanyak £50 juta (RM285.74 juta) untuk membawanya ke Old Trafford ketika dia masih memiliki kontrak sehingga 2027 di Goodison Park.
Difahamkan, Branthwaite hanya setuju untuk menyertai United sekiranya pasukan itu mampu beraksi di UCL menyebabkan The Red Devils tidak mempunyai pilihan kecuali menggunakan status juara Liga Europa sebagai tiket ke saingan berkenaan. – AFP