LONDON – Liverpool hampir pasti kehilangan khidmat pemain pertahanan kanan mereka, Trent Alexander-Arnold pada musim panas nanti apabila bakal berhijrah ke Real Madrid selepas kontraknya di Anfield berakhir.
Alexander-Arnold menjadi buruan utama Real kali ini selepas mereka berdepan masalah kecederaan pemain di posisi berkenaan, Dani Carvajal yang turut dimamah usia menyebabkan bintang Liverpool itu dianggap calon terbaik.
Perkara tersebut seakan disahkan oleh pakar perpindahan, Fabrizio Romano yang mengakui bahawa Alexander-Arnold adalah menjadi keutamaan Real pada jendela perpindahan bermula Jun nanti.
“Saya bercakap mengenainya sejak Mac 2024. Real Madrid mahukan Trent, dia menjadi sasaran pertama, kedua dan ketiga pada musim panas ini. Mereka akan pastikan urusan ini diselesaikan. Semuanya akan berakhir selepas segala urusan diselesaikan,” katanya.
Alexander-Arnold telah membuat 349 penampilan bersama Liverpool sejak debutnya bersama pasukan itu pada 2016 dan telah menjaringkan 22 gol serta 87 umpanan jaringan dan musim ini berjaya meledak tiga gol serta tujuh bantuan gol dalam 39 penampilan.
Dia anggap antara pemain pertahanan terbaik di dunia ketika ini yang turut mampu beraksi di posisi tengah selain kemampuannya melakukan hantaran tepat dianggap sebagai kelebihan menyebabkan Real terlalu inginkan khidmatnya. – AGENSI