NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin tidak akan pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini meskipun dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok pada 6 Mac lalu.
Eda atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang masih ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat bagaimanapun berkata, dia reda menyambut Syawal di tirai besi.
Katanya, dia masih belum menerima sebarang maklumat sama ada pihak pendakwa raya sudah memfailkan rayuan terhadap kesnya di mahkamah atau sebaliknya.
“Tempoh untuk mereka mengemukakan rayuan akan tamat awal bulan depan. Saya amat berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan tersebut.
“Bagaimanapun, saya bersyukur selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan saya, suami dan empat rakan atas tuduhan memiliki dadah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Kehakiman Thailand, Leftenal Kolonel Polis Thawee Sodsong di sini semalam.
Menurut Eda, pembebasan kerana memiliki dadah itu cukup menggembirakan dirinya dan ahli keluarga.
“Tolong sampaikan salam buat semua termasuk peminat, Insya-Allah lepas keluar dari sini (penjara) saya akan teruskan kerjaya seni sebagai penyanyi,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Eda dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Peguam Sufian Abdul Aziz dilaporkan berkata, enam anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi.
Ini berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah pada 6 Mac lalu.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di penjara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE