MARAN – Dua pelajar pondok maut selepas kereta jenis Perodua MyVi dinaiki mereka yang dipandu seorang guru pondok terbabas di selekoh Jalan Jengka 23, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah penumpang belakang Mohd Rahinuddin Ibrahim, 55, dan penumpang hadapan Abd Aziz Othman, 73.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa menaiki kereta dipandu lelaki berusia 73 tahun dalam perjalanan dari Pondok Haji Bakri, Chenor menghala ke Jengka 21.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke dalam cerun di sebelah kanan dan melanggar pokok.
“Penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital,”katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, penumpang hadapan yang dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE