KUALA NERUS – Pengunjung Pantai Seberang Takir di sini gempar dengan penemuan objek mencurigakan yang disangka bahan letupan hari ini.
Objek menyerupai peluru berpandu itu dijumpai beberapa penduduk ketika melakukan aktiviti riadah di pantai peranginan tersebut pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, objek itu juga memiliki pendawaian yang menimbulkan kerisauan awam kerana disangka bahan letupan.
“Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu mendapati ia bukanlah bom seperti disangka.
“Ia sebenarnya alat marin yang digunakan untuk mengkaji fenomena pasang surut air laut dan ombak serta hidupan maritim,” katanya ketika ditemui di Pantai Seberang Takir di sini hari ini.
Azli berkata, ujian radiasi juga mendapati objek seberat 70 kilogram dan sepanjang 2.93 meter berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur berbahaya.
Beliau percaya alat marin yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit itu telah dihanyut ombak kuat pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) ini.
“Kita sedang cuba mengesan pemilik alat marin tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE