fbpx

Dalami sirah Rasulullah secara 3D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA mural yang memaparkan kehidupan masyarakat sewaktu zaman Rasulullah.

SEBAGAI sebuah monumen yang melambangkan pencapaian pemakmuran seni Islam dan budaya al-Quran, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di Shah Alam boleh menjadi destinasi pilihan untuk dikunjungi.

Bukan sekadar pusat penghasilan seni Islam khususnya penyalinan manuskrip al-Quran, malah kompleks tersebut dibangunkan dengan pameran kisah para nabi dan kehidupan Rasulullah SAW untuk dijadikan pedoman.

Menurut Eksekutif Lawatan, Acara dan Wakaf, Nurul Izzah Shahrizad, terdapat tiga galeri di kompleks itu yang boleh dikunjungi secara percuma buat semua lapisan usia.

“Di sini, para pengunjung boleh mempelajari tentang adab dan sahsiah diri dalam agama Islam.

“Tiga galeri itu adalah Rehlah Nabawiyyah, Mushaf Malaysia dan Mahabbah Al-Haramain. Di ruang pertama terdapat pameran tiga dimensi (3D), miniatur, model dan animasi 3D melibatkan peristiwa ajaib sekitar kelahiran nabi.

“Kisah Nabi SAW sejak zaman kanak-kanak di Kota Mekah dan perkampungan Bani Saad.

“Pelbagai perkara menarik boleh diketahui, antaranya hologram Kaabah, gambaran keadaan Gua Hira dan replika rumah Rasulullah SAW.

“Terdapat juga paparan tentang perjalanan hijrah dan penerangan mengenai peperangan dalam Islam iaitu miniatur Perang Uhud, Badar dan Khandaq.

“Terdapat juga replika koleksi pedang Rasulullah dan para sahabat baginda,” katanya kepada CitaRasa.

Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor merupakan sebuah destinasi pilihan wajib dikunjungi.

Dalam pada itu, ruang kedua pula menempatkan manuskrip al-Quran salinan tangan yang dihiasi seni tampak Islam-Melayu.

Kata Nurul Izzah, ruang tersebut terbahagi kepada lapan bahagian, manakala terdapat dua struktur besar pada bahagian atas bangunan berbentuk seperti rehal.

“Lapan bahagian tersebut melibatkan kajian dan penyelidikan, inspirasi, al-Quran Mushaf Malaysia, Projek Mushaf Antarabangsa, proses pelaksanaan manuskrip dan penerbitan, Aplikasi Seni Mushaf, penerbitan serta wakaf.

“Ruang ketiga pula mempamerkan koleksi hiasan dalaman dan artifak yang dibawa dari dua lokasi iaitu Mekah dan Madinah serta lembaran kain Kiswah.

“Ada juga Taman Alkaf di ruangan ini iaitu satu bidang seni yang menyerlahkan ayat-ayat dan huruf al-Quran dalam struktur 3D.

“Berbeza dengan konsep seni arca moden, seni alkaf di sini mengingatkan umat Islam kepada kitab suci al-Quran terutamanya hikmah dan ajarannya,” katanya.

MINIATUR yang memaparkan gambaran peperangan ketika zaman Rasulullah SAW.

Menariknya, muzium yang dikendalikan di bawah Yayasan Restu itu menyediakan pelbagai aktiviti lain buat pengunjung seperti demonstrasi khat, pembuatan kraf dan do it yourself (DIY).

Pengurus Yayasan Restu, Roshalina Baharuddin berkata, pelbagai produk seni kraf, al-Quran dan barangan cenderahati boleh didapati di Restu Shop untuk dijadikan kenang-kenangan.

Dalam pada itu, Mushaf Mussolla bersaiz A2 yang dicetak khas dengan kemasan tangan (binding) secara manual sangat sesuai dijadikan panduan imam di rumah ibadah.

“Mushaf Mussola direka dengan rehal kayu yang mampu menampung berat al-Quran sehingga tujuh kilogram.

“Mushaf ini boleh dilaras mengikut kesesuaian bacaan, sama ada secara berdiri atau duduk.

“Mushaf ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sangat mudah dibaca walaupun dari jarak jauh.

“Tulisannya sangat besar dan jelas dengan panduan tajwid lengkap.

“Bagi yang berminat, mereka boleh melakukan infak satu set al-Quran dan rehal ini dengan harga RM700,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI