SHAH ALAM – Tampil dengan imej bertudung, pelakon Isyariana mengakui masih berusaha untuk kekal istiqamah selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah beberapa hari lalu.
Pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi, 35, itu enggan meletakkan sebarang noktah terhadap imej baharunya itu kerana khuatir hatinya masih berbolak-balik.
“Saya bertudung selepas pulang daripada menunaikan umrah beberapa hari lalu.
“Tidak muktamad lagi dengan imej ini tetapi saya pula segan bila tak bertudung.
“Rasa seronok, selamat dan okey dengan imej sebegini. Saya masih baru dengan imej sebegini dan kalau boleh tak mahu jawab sama ada dalam fasa percubaan kerana sedang cuba terbaik untuk diri sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis Meet & Greet Drama Sangat TV3 di sini, hari ini.
Tambah bintang drama Setelah Terlafaznya Akad 2 itu, dia bimbang dengan setiap jawapan yang diberikan akan memakan diri selain hatinya mahu terus berjuang mengekalkan imej sebegitu.
“Ya saya takut tak istiqamah sebab saya sedang ‘struggle’ juga.
“Tak boleh nak jawab ditambah dengan tawaran lakonan yang akan diterima kelak juga bagaimana.
“Ada juga beberapa tawaran yang saya tolak untuk lakukan. Sekarang pun saya tak tahu sudah bertudung atau tidak tetapi saya usaha lakukan apa yang sepatutnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui niat untuk bertudung sudat lama disimpannya namun bimbang tidak mampu untuk dikekalkan.
“Memang niat bertudung sudah lama dan namun untuk kekal istiqamah bukan hal senang.
“Kemudian saya juga ada beberapa tawaran drama termasuk Bukan Sekadar Lafaz 2, ketika itu masih lagi ‘freehair’. Mahu atau tidak memang kena buka tudung.
“Setakat ini, saya berehat dari lakonan pada bulan Ramadan, jadi beginilah (imej) saya,” ujarnya yang bersyukur setiap urusan ibadah umrahnya baru-baru ini berjalan dengan baik. – KOSMO! ONLINE