JOHOR BAHRU – Sejumlah 800 lubang kerosakan jalan atau ‘pothole’ baharu telah dikesan di lima daerah seluruh negeri ini susulan kejadian banjir yang melanda Johor, beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kesemua kerosakan itu akan dibaiki dalam tempoh dua hari.
Menurut beliau, lima daerah tersebut adalah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang.
“Kerja-kerja baik pulih telah mula dilaksana sejak malam semalam, dan kita sasarkan untuk baiki semua 800 ‘pothole’ menjelang malam esok. Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan cuaca.
“Antara kerosakan dikenal pasti akibat banjir termasuklah lubang, retakan serta mendapan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pasca banjir di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini hari ini.
Tambahnya, kerja-kerja baik pulih tersebut akan dilaksanakan syarikat konsesi yang telah dilantik di kesemua kawasan terjejas.
“Kerja pembaikan jalan dibuat sepanjang masa, cuma untuk kerosakan akibat banjir ini kita mahu ia diselesaikan dalam tempoh dua hari dengan kos bernilai RM560,000.
“Daripada 800 ‘pothole’ yang dikesan, 500 daripadanya berada di jalan raya sekitar daerah Johor Bahru, yang bakinya di empat daerah lain yang terjejas,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, selain memberikan tumpuan kepada kerja pembaikan jalan, pihaknya turut mengingatkan syarikat konsesi untuk memastikan tiada laluan ditutup bagi memudahkan pergerakan orang awam. – KOSMO! ONLINE