fbpx

‘Banjir dua jam, bagai dilanda tsunami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HALIDAH menunjukkan barangan di dalam rumahnya yang rosak akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, semalam. - Foto oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Penduduk Felda Air Tawar 1 di sini, menyifatkan kejadian banjir kilat selama dua jam awal pagi semalam seperti dilanda tsunami kerana air naik secara mendadak menyebabkan rata-rata mangsa tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah.

Kejadian bencana alam itu turut menyebabkan ada penduduk terperangkap di dalam kediaman sebelum diselamatkan oleh anggota bomba selain menjejaskan 102 rumah penduduk di Felda tersebut.

Seorang mangsa, Siti Aisyah Mohsin, 35, berkata, dia menerima panggilan daripada jirannya pada pukul 3 pagi yang meminta supaya melihat keadaan di luar rumah.

“Bila saya tengok luar, air sudah naik separuh kereta, mujur suami sempat alihkan ke tempat tinggi. Apabila dia berpatah balik, air sudah cecah paras bahu.

“Mujur rumah kami tinggi, namun ibu bapa saya terperang­kap dalam rumah. Saya segera menghubungi bomba meminta bantuan untuk menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui.

Menurut Siti Aisyah, banjir kilat itu berlaku ekoran hujan lebat sejak malam kelmarin.

“Kami menjangkakan hujan lebat dua hari lepas akan menyebabkan banjir, tetapi (bah) tidak berlaku, sebaliknya terjadi hari ini yang mana ia datang secara mengejut walaupun hujan tidak sampai 24 jam,” katanya.

Lebih menyedihkan, persiapan menyambut Aidilfitri yang selesai dilakukan minggu lalu bukan sahaja musnah, malah dibawa arus deras ke lokasi yang tidak diketahui.

“Bila lihat keadaan dalam rumah seolah-olah dilanda tsunami. Tiada barang yang sempat diselamatkan. Gara-gara panik, kami sekeluarga juga tidak sempat bersahur,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Halidah Sungib, 40, berkata, bah kali ini agak luar biasa kerana hujan lebat bertembung dengan air pasang sehingga meragut nyawa 10 ekor kucing peliharaannya.

Katanya, suaminya, Mohd. Fadil Mohd. Shah, 31, yang juga orang kurang upaya terpaksa didukung rakan untuk menyelamatkan diri berikutan arus deras.

“Banjir kali ini memang tidak dijangka. Amaran hujan lebat dikeluarkan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat, tetapi siapa sangka banjir seteruk ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar, Fauziah Misri memberitahu, banjir kilat menjejaskan 102 rumah melibatkan lebih 300 mangsa.

Di Johor Bahru, mangsa banjir, Arip Aripin, 78, terpaksa me­ninggalkan kediamannya di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato’ Onn, di sini yang musnah sepenuhnya pada 19 Mac lalu.

“Macam tsunami, arus terlalu kuat. Semua perabot, barangan elektrik dan pakaian musnah 100 peratus. Sekarang tiada lagi pakaian raya,” katanya.

Menurut Arip, dia dan iste­rinya yang berusia 65 tahun hanya mampu melihat rumah mereka ditenggelami air sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, Rabu lalu.

Rosmela Abdul Ghani, 54, pula memberitahu, dia mengalami nasib sama apabila rumahnya dipenuhi lumpur tebal sekali gus menyukarkan kerja pembersihan.

Rosmela menunjukkan barangan yang rosak selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat.

Katanya, dia sekeluarga tidak menyambut Aidilfitri tahun ini kerana rumah masih belum dikemas sepenuhnya selain kelengkapan raya termasuk kuih dan pakaian musnah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI