fbpx

Andi Bernadee terima RM166 upah kejut sahur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bermula dengan gurauan, penyanyi Andi Bernadee tidak menyangka apabila ramai peminat yang ambil serius kononnya dia menawarkan perkhidmatan kejut sahur sepanjang Ramadan.

Andi atau nama lengkapnya Azrul Andi Mapangile, 34, lebih terkejut apabila perkara tersebut mendapat sambutan ramai peminat sehingga ada yang sanggup membayar bagi mendapatkan tawaran tersebut.

“Sebenarnya saya cuma gurau sahaja dan gurauan itu bermula dalam Threads, tiba-tiba dapat sambutan pula bila ramai orang kongsikan dalam media sosial.

“Saya pula cuba bereksperimen dalam Tiktok dan Instagram. Terus-terang, tak sangka pula kerana ‘perkhidmatan’ tersebut, saya terima banyak DM dan mesej nombor telefon dan minta nombor akaun bank saya.

“Mereka (peminat) macam nak sangat saya buat pakej itu sampai sanggup nak bayar. Bagi saya perkara ini menarik dan melucukan juga,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Malah, pelantun lagu Satu Peluang itu mendedahkan pernah menerima lebih RM150 ketika bersalaman dengan peminat di sebuah acara di Singapura.

“Macam biasalah kita akan bersalaman dan jumpa peminat bukan tetapi tak sangka ada antara mereka menyelitkan duit bernilai SGD50 di tangan saya.

“Dia cakap duit ini diberi supaya saya buat lagi video kejut sahur.

“Saya terkejut juga tetapi bolehlah ya, setakat buat video ucapan begitu, buat sahajalah,” ujarnya lagi.

Tidak berasa rimas, Andi akui banyak menerima video-video menyeramkan daripada peminat walaupun perkara tersebut terjadi secara tidak sengaja.

“Ada juga terima video ala-ala manja daripada peminat yang DM (mesej langsung) dalam Instagram. Video minta kejut sahur, tetapi kebanyakannya daripada budak perempuan.

“Saya tak rasa merimaskan pun sebab saya sendiri yang cari fasal bukan? Saya sendiri yang mengundang, jadi saya layankan sahajalah kerenah peminat.

“Video-video yang saya buat, semuanya tak dirancang tetapi saya dah berhenti buat video-video begitu sebab tak mahu mengurangkan puasa orang,” kongsinya.

Awal Ramadan lalu, kecoh dalam media sosial mengenai hantaran Andi yang menawarkan perkhidmatan kejut sahur dengan beberapa pakej serendah RM2 hingga RM50.

Bagaimanapun, Andi menganggap perkara tersebut sebagai gurauan dengan peminat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI