KUALA LUMPUR – Seramai 6,957 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di seluruh negara dalam Op Selamat ke-24 sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April depan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 871 pegawai kanan dan juga seramai 6,086 anggota ditugaskan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengesan sebanyak 25 lokasi ‘hot spot’ dan 46 ‘black spot’ di lebuh raya utama, di mana pemantauan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan perhatian segera oleh JSPT.
“Selain itu, terdapat 407 lokasi hot spot dan 76 black spot di seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, negeri, bandaran dan lain-lain jalan yang telah diberi perhatian oleh JSPT dalam memastikan semua pengguna selamat dan selesa.
“Pasukan ‘emergency response team’ (ERT) turut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan, St. John Ambulance, Telekom Malaysia dan Jabatan Sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Program Advokasi Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri di perkarangan pusat beli-belah Sogo, di sini hari ini.
Turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob.
Dalam pada itu beliau berkata, JSPT mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ dalam Op Selamat kali ini, selain meneruskan pendekatan ‘Total Enforcement and Delivery Services’ yang menekankan pendidikan serta kesedaran kepada pengguna jalan raya.
“Pasukan Gerakan Udara PDRM juga akan membantu pemantauan trafik dari udara bagi menilai tahap kesesakan, selain pelaksanaan Op Lancar yang bermula lebih awal iaitu dari 23 Mac hingga 6 April,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan, khususnya di musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. – KOSMO! ONLINE