NIAMEY – Kira-kira 44 orang awam terbunuh dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh anggota-anggota militan Daesh di di barat daya Niger.
Kementerian Dalam Negeri Niger dalam satu kenyataan yang disiarkan di stesen televisyen milik kerajaan berkata, mangsa-mangsa terbunuh di sebuah masjid di pekan Kokorou yang terletak di kawasan luar bandar.
Menurut kementerian itu, seramai 13 orang lagi cedera.
Serangan berlaku pada awal tengah hari ketika orang ramai menunaikan solat Jumaat di masjid itu, kata kenyataan tersebut.
“Anggota-anggota bersenjata mengepung masjid untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan melakukan kekejaman luar biasa,” kata kementerian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, anggota-anggota Daesh turut membakar pasar dan rumah penduduk tempatan.
Kementerian tersebut berikrar untuk memburu penyerang-penyerang itu dan membicarakan mereka di mahkamah. – AFP