PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta tiga buah hotel yang dikendalikan warga asing dalam operasi khas ‘KL Strike Force’ di sekitar ibu negara.
DBKL dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya melaksanakan siasatan dan pemantauan selama seminggu di lokasi hot spot dengan beberapa premis dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan.
Katanya, semasa operasi dijalankan, terdapat empat buah premis hotel beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dan dikendalikan bukan warganegara.
“Hasil operasi itu, tiga buah hotel dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003.
“Selain itu, DBKL turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003 dan Notis Tawaran Kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas pelbagai kesalahan,” katanya hari ini.
Tambahnya, pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
Sebarang aduan, orang ramai boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO! ONLINE