KUALA SELANGOR – Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) bakal dibanjiri lebih 140,000 kenderaan sehari menjelang cuti sambutan Aidilfitri minggu depan.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohamed Idid berkata, faktor itu susulan peningkatan jumlah pengguna sejak beberapa seksyen lebuh raya siap sepenuhnya.
Jelas beliau, pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik harian hanya melibatkan 60,000 kenderaan sebelum pembukaan seksyen Asam Jawa di sini, pada 20 November 2023.
“Namun, jumlah itu kian meningkat sehingga 70,000 kenderaan sehari dengan turut siapnya keseluruhan jajaran di Perak.
“Sempena Aidilfitri ini, kita jangka lebih 140,000 kenderaan akan menggunakan WCW sehari terutama dari Taiping Selatan ke Banting,” katanya ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Parlimen Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Sementara itu, Zulkafperi Hanafi berkata, kesesakan di Tanjong Karang dijangka berkurangan selepas susur keluar WCE berdekatan Bagan Tengkorak di sini, siap tahun depan.
“Cadangan susur keluar kedua berhampiran Hospital Tanjong Karang juga mampu melancarkan aliran trafik dan memberi impak positif pertumbuhan ekonomi serta nilai hartanah di kawasan itu.- KOSMO! ONLINE