KANGAR – Kira-kira satu tan daging lembu tempatan habis dijual dalam tempoh sejam setengah dalam program jualan amal di pekarangan Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kangar, malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sambutan menggalakkan itu menunjukkan keperluan rakyat mendapatkan bekalan daging segar pada harga rendah menjelang Aidilfitri.
“Kita lihat ribuan orang hadir walaupun malam, malah ramai yang beratur panjang demi nak dapatkan daging lembu tempatan
“Penjualan bermula pukul 9.30 malam dan dalam tempoh sejam 30 minit, satu tan daging habis terjual,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Daging Lembu Tempatan Termurah, di sini malam tadi.
Daging dan tulang lembu itu dijual pada harga serendah RM20 sekilogram, jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
Beliau berkata, pihak penganjur turut memperkenalkan sistem kupon awal bagi memastikan perjalanan jual beli berjalan lebih teratur dan terkawal.
Sebanyak enam ekor lembu ditumbangkan malam tadi dengan seekor dijadikan juadah untuk orang ramai dan petugas yang hadir, manakala lima lagi daging diagihkan untuk jualan.- KOSMO! ONLINE