fbpx

XCL Education perkukuh perlindungan, keselamatan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Interaksi harian antara pelajar dan guru menjadi perkara asas yang penting bagi memastikan murid dan guru tahu mengenai peranan masing-masing.

PETALING JAYA – Perlindungan dan keselamatan sekolah-sekolah di negara ini semakin diperkukuh sejajar dengan seruan kerajaan Malaysia untuk memastikan setiap sekolah menjadi tempat yang selamat dan menyokong perkembangan pelajar.

Ketua Penambahbaikan Berterusan dan Perlindungan Pelajar XCL Education, Hayley Trenchard, berkata, interaksi harian antara pelajar dan guru adalah asas yang penting bagi memastikan murid dan guru tahu mengenai peranan masing-masing.

“Dasar sahaja tidak boleh melindungi kanak-kanak. Perubahan sebenar berlaku melalui interaksi harian antara murid, guru dan komuniti yang lebih luas. Di XCL Education, kami memastikan setiap pelajar memahami hak mereka, manakala pendidik pula sedar akan tanggungjawab mereka untuk melindungi pelajar,” katanya.

Hayley berkata, kesihatan mental dalam kalangan pelajar kini turut menjadi kutamaan di sekolah – sekolah seluruh Malaysia.

 Kesihatan Mental Semakin Membimbangkan

 Menurut Hayley, isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar kini menjadi antara cabaran utama dalam perlindungan murid di sekolah. Laporan Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan ketara dalam kecenderungan membunuh diri di kalangan golongan muda.

“Meskipun kesedaran terhadap kesihatan mental dipertingkatkan, stigma telah menyebabkan mangsa kemurungan ini sukar untuk mendapatkan bantuan awal,” katanya.

Justeru itu katanya, penting untuk sekolah mewujudkan persekitaran yang menunjukkan di mana meminta pertolongan itu dilihat sebagai kekuatan dan bukan kelemahan.

 

Penting persekitaran sekolah terapkan meminta pertolongan itu dilihat sebagai kekuatan dan bukan kelemahan.

“Bagi menangani isu ini, XCL Education telah berusaha secara proaktif untuk membina rangkaian sokongan yang teguh termasuk bekerjasama dengan perusahaan sosial seperti Humankind untuk menghubungkan pelajar dengan sumber luar.

“Sebagai contoh, seorang pelajar yang berdepan dengan konflik keluarga dan mengalami kesukaran menumpukan perhatian dalam pelajaran akan diberi bantuan yang sesuai. Hasilnya, pelajar tersebut menunjukkan peningkatan dari segi kestabilan emosi dan pencapaian akademik,” katanya.

Keselamatan Digital dan Ancaman Siber

Dalam dunia digital yang semakin berkembang, cabaran keselamatan dalam talian juga menjadi perhatian utama XCL Education.

“Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kes buli siber dalam kalangan belia meningkat secara mendadak pada tahun 2023. Pelajar juga semakin terdedah kepada risiko ‘online grooming’ serta kandungan berbahaya di internet.

“Bagi melengkapkan pelajar, ibu bapa dan penjaga dengan ‘teknologi’ untuk mengawal risiko itu, XCL Education menganjurkan bengkel keselamatan digital dan penilaian risiko yang berterusan bagi memastikan ancaman dalam talian dapat ditangani,” katanya.

Cabaran meningkatkan perlindungan termasuk untuk membina kepercayaan dan komunikasi terbuka antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Hubungan Erat antara Sekolah dan Ibu Bapa

Hayley turut menegaskan bahawa membina kepercayaan dan komunikasi terbuka antara pihak sekolah dan ibu bapa adalah salah satu elemen paling penting dalam memastikan keselamatan pelajar.

“Kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa membawa kepada kemajuan yang bermakna. Di XCL Education, kami menekankan penglibatan berterusan ibu bapa melalui komunikasi terbuka, kemas kini berkala, dan penglibatan tetap dalam proses perlindungan bagi memastikan setiap kebimbangan dapat disuarakan tanpa rasa takut.

“Selain itu, Pemimpin Perlindungan yang dilantik di setiap sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan dasar perlindungan dilaksanakan secara efektif, disokong oleh latihan berterusan, audit berkala dan penjagaan pastoral,” katanya.

Katanya, rangka kerja dibina di atas tujuh teras utama, termasuk pengambilan lebih selamat, kesihatan dan keselamatan, rekod dan pemantauan, amalan harian, penglibatan komuniti, latihan kakitangan dan tindak balas krisis.

“Unsur-unsur ini secara kolektif mewujudkan budaya perlindungan yang proaktif.

“XCL Education juga menawarkan latihan perlindungan berterusan untuk memastikan kakitangan dilengkapkan dengan kemahiran untuk bertindak balas terhadap cabaran dunia sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI