JAKARTA – Jutaan peminat skuad bola sepak Indonesia dilihat kecewa dengan ‘revolusi’ baharu pasukan selepas menjadi mangsa belasahan apabila tewas 1-5 kepada Australia dalam aksi kelayakan Kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 kelmarin.
Situasi tersebut menyaksikan peminat Sang Garuda mula menyeru nama bekas ketua jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong yang dipecat pada awal tahun ini untuk ‘rujuk’ semula bagi mengemudi pasukan itu pada masa depan.
Namun, Tae-yong yang dijemput oleh stesen televisyen tempatan untuk menyaksikan perlawanan secara langsung percaya masa depan pasukan dibawah kendalian jurulatih baharu, Patrick Kluivert masih cerah.
“Kita boleh lihat semua pemain bekerja keras di atas padang untuk menentang pasukan Australia yang sangat bagus. Mungkin kekurangan waktu atau sesi latihan menjadi faktor kekalahan pasukan kali ini,” katanya.
Sementara itu, Kluivert pula enggan menyalahkan barisan pemainnya tetapi mengakui kegagalan pemain berpangkalan dari Eropah, Kevin Diks untuk menyempurnakan sepakan penalti pada awal perlawanan menjadi punca motivasi pasukan sedikit terjejas.
“Jika kita berjaya menjaringkan gol penalti, mungkin perlawanan akan jadi berbeza. Namun, saya lihat pemain berjuang seperti ‘singa’ kelaparan dan memberi tentangan sengit ke atas Australia,” katanya selepas tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan harapan Indonesia untuk meraih slot automatik ke kelayakan Piala Dunia 2026 semakin sukar apabila mengumpul enam mata daripada tujuh perlawanan. – AGENSI