MELAKA – Tiada cubaan culik kanak-kanak berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini, melibatkan seorang wanita berambut panjang seperti didakwa, sebaliknya suspek hanya bertindak menyerang mangsa.
Ia selepas tular satu klip video berdurasi 46 saat yang memaparkan situasi kecoh apabila wanita terbabit ditahan polis bantuan di pusat beli-belah itu kononnya kerana cuba menculik seorang kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu sebenarnya membabitkan seorang wanita pesakit mental berusia 33 tahun.
Katanya, hasil siasatan, wanita terbabit telah mengekori seorang pengunjung dan anaknya sebelum bertindak menendang mangsa sehingga terjatuh.
“Ketika kejadian berlaku, suspek sedang bercakap sendirian sebelum menjerit-jerit dan menyerang mangsa. Pasukan polis bantuan telah segera menahan suspek dan membawanya ke Balai Polis Melaka Tengah untuk siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan masih dalam pemantauan.
“Kita juga telah menerima laporan daripada mangsa pada pukul 9.23 malam. Suspek telah dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Rawatan Lanjut Awal (RLA) dan suspek telah ditempatkan di Bahagian Psikiatri Hospital Melaka. – KOSMO! ONLINE