SUDAH menjadi tradisi setiap kali tiba musim lebaran jenama-jenama besar mula melancarkan ‘perang’ kempen raya bagi mempopularkan dan melariskan produk.
Bukan setakat idea atau gimik siapa paling menarik, pemilihan duta sebagai wajah utama sepanjang kempen berlangsung juga antara yang dinanti-nantikan peminat.
Tahun ini menyaksikan ramai selebriti, pempengaruh dan tokoh politik menjadi rebutan jenama popular. Siapa antara mereka paling ‘menang’ dalam kempen raya tahun ini? Mari kita lihat.
Bella Astillah & Syed Saddiq
Ramai bersetuju kempen raya tahun ini dimenangi gandingan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang mewakili jenama pakaian Primavalet.
Kemesraan yang ditonjolkan dalam media sosial bukan sahaja bikin satu Malaysia angau tetapi daripada netizen, selebriti sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘merestui’ hubungan mereka berdua.
Masakan tidak naratif yang dipersembahan umpama menonton drama Korea secara langsung mencairkan setiap hati yang mengikuti perkembangan mereka berdua.
Populariti mendadak menyebabkan beberapa jenama lain turut menumpang kehangatan ‘cinta’ mereka . Namun, adakah kisah cinta mereka benar atau sekadar konten pelaris, hanya mereka sahaja yang tahu.
Fattah Amin & Amira Othman
Sejak bergelar duda, saham pelakon Fattah Amin semakin tinggi apabila dihujani pelbagai tawaran termasuk menjadi duta produk dan jenama terkenal.
Biarpun pernah mengecewakan peminat apabila penyanyi Amira Othman mengaku hubungannya bersama Fattah sekadar gimik untuk melariskan lagu Bila Nak Kahwin, mereka sekali lagi digandingkan bersama dalam kempen raya jenama Jakel.
Gandingan mereka membuatkan peminat kembali teruja kerana Amira dilihat sebagai sosok paling sesuai untuk Fattah meskipun netizen sedar kerjasama itu terjalin atas tiket mempromosi baju raya semata-mata. Selain mereka berdua, Jakel juga tidak lokek berhabis dengan melantik deretan duta antaranya, Nabil Ahmad dan keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna serta Senario.
Khairy Jamaluddin
Aura tokoh politik, Khairy Jamaluddin atau KJ sememangnya diperakui ramai. Bertukar profesion ke dunia penyiaran, beliau terus diminati ramai sehingga memenangi trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 tahun lalu.
Memiliki pengikut dan peminat yang ramai, tidak hairanlah figura yang terkenal dengan julukan ‘tall, dark, handsome’ ini dilamar jenama baju Melayu terkenal iaitu Elrah untuk kempen raya buat tahun kedua. Selain KJ, jenama tersebut turut menampilkan Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin, MK K-Clique, Fauzi Nawawi, Amir Ahnaf dan pempengaruh Aisar Khaled sebagai wajah kempen raya mereka.
Shukri Yahya, Remy Ishak & Syafiq Kyle
Sama seperti tahun-tahun terdahulu, jenama pakaian Bulan Bintang sanggup berhabis jutaan ringgit demi mengikat duta gred A dan strategi pemasaran yang hebat.
Antara aktor papan atas yang terlibat dalam kempen raya 2025 ialah Datuk Remy Ishak, Shukri Yahya dan Syafiq Kyle.
Tanpa gimik, hanya dengan melihat ketiga-tiga hero Malaya itu segak menggayakan baju Melayu secara tidak langsung buat hati peminat cair sekali gus mempopularkan lagi jenama ini.
Tidak tertumpu kepada mereka sahaja, Bulan Bintang turut melantik Datuk Rosyam Nor, Datuk Jalaluddin Hassan, Sabri Yunus, Angelina Tan, Datuk Ramli MS, Zamarul Hisham, Zahiril Adzim, Hannah Delisha, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Mimi Lana, Ain Edruce, Aiman Hakim, Zahirah Macwilson dan Jojo Ghazali sebagai duta raya tahun ini.