KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dijangka dapat menuai sehingga 25,055 hektar kawasan padi di bawah seliaannya sehingga Jun ini.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, penuaian penuh itu melibatkan 93 peratus daripada jumlah keseluruhan sekali gus dapat menjayakan penanaman pada musim 2/2024.
Menurutnya, meskipun masih terdapat masalah-masalah lain yang dihadapi petani termasuk kemarau, keadaan tersebut tidak seteruk sebelum ini.
“Kita sudah menuai hasil padi seliaan Kada di kawasan seluas 4,574 hektar.
“Sekiranya tiada sebarang masalah terutamanya melibatkan cuaca, hasil tuaian padi dapat dituai di keseluruhan kawasan melibatkan 25,055 hektar,” katanya pada sidang akhbar ketika hadir di Majlis Iftar Perdana Pengerusi Bersama Warga Kada dan Media di sebuah hotel di Tunjong di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, kerja-kerja membaik pulih struktur tiang cerucuk (sheet pile) sedia ada di Rumah Pam Kemubu yang runtuh akan dilaksana segera sebelum bermulanya penanaman padi musim 1/2025 pada Jun ini.
Menurutnya, projek membaik pulih itu akan mengambil masa tiga bulan dengan kos yang dianggarkan bernilai RM5 juta. – KOSMO! ONLINE