PETALING JAYA – Terlalu malu dengan watak dibawa dalam Keluarga Itu, pelakon Datuk Rosyam Nor mengakui sudah berpesan kepada ahli keluarganya supaya tidak menonton lakonannya dalam drama terbabit.
Malah, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, berkata dia sehingga kini belum menonton drama yang mencetuskan pelbagai reaksi penonton itu.
“Sebelum mula penggambaran, saya dah maklumkan dalam group WhatsApp supaya tiada sesiapa yang dibenarkan tonton drama Keluarga Itu apabila sudah ditayangkan.
“Pesanan itu untuk isteri, anak-anak dan cucu saya. Malah, saya sendiri sehingga hari ini tidak menonton drama tersebut.
“Walaupun saya seorang pelakon, saya sebagai manusia ada sifat malu. Tapi disebabkan kerja dan tanggungjawab, saya lakukan secara profesional,” katanya menerusi audio siar Drama Sangat.
Berani menggalas watak sedemikian, Rosyam mendedahkan tidak terlepas daripada caci maki penonton yang kurang senang dengan karakter lelaki miang serta bapa ‘makan’ anak dalam drama berkenaan.
“Ada mak cik kata kenapa saya ambil watak itu, mak cik tu kata dia nak ludah muka saya.
“Saya takut untuk ambil watak itu, kerana selepas berbelas tahun tidak muncul dengan drama dan risau jika tak berjaya bawakan dengan baik.
“Saya ada tanya kepada Erma kenapa watak saya sedemikian, tapi saya percaya mesti ada sebab. Kalau ada yang kata geli dengan watak itu, maksudnya sudah sampai kepada penonton,” ujarnya.
Sementara itu, Erma Fatima selaku penulis skrip drama tersebut mendedahkan sebab utama Rosyam dipilih memegang watak Iman.
“Dalam banyak-banyak artis, aku rasa kau ada muka gatal dan ‘perogol’,” dedahnya.
Dalam media sosial, rata-rata netizen turut meluahkan pelbagai reaksi terhadap keberkesanan lakonan bapa lima anak itu.
“Sampai sekarang saya trauma tengok watak dia. Memang jadi betul!” kata seorang pengguna media sosial.
“Hebat betul Datuk Rosyam bawa watak ni, sampai rasa menyampah tengok muka dia dalam drama tu,” komen seorang lagi netizen.
“Watak dia ni memang bikin sakit jiwa! Terbaik Datuk Rosyam,” tambah seorang netizen lain.
Kenyataan itu membuktikan Rosyam berjaya menghidupkan watak dengan begitu berkesan, meskipun dirinya sendiri tidak sanggup menonton hasil lakonan sendiri. – KOSMO! ONLINE