SHAH ALAM – Pindaan terhadap had tempoh jawatan Perdana Menteri perlu bersama tetapan hanya kepada seorang Melayu beragama Islam sahaja.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar berkata, secara peribadi tidak bersetuju mengenai cadangan yang mengehadkan tempoh jawatan itu hanya kepada dua penggal atau 10 tahun.
“Kalau benar nak buat pindaan, biarlah adil. Jangan hanya hadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, tetapi pastikan juga jawatan itu dipegang oleh Melayu Islam.
“Kita ambil contoh negeri Selangor. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh negeri, disebut bahawa Menteri Besar mestilah Melayu Islam.
“Mungkin ketika menggubal Perlembagaan dulu, perkara ini terlepas pandang tetapi ia adalah sesuatu yang penting,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan Aidilfitri asnaf anak yatim di Tanjong Karang di sini, petang ini.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan itu kepada 10 tahun.
Noh menegaskan, DAP tidak sepatutnya campur tangan dalam isu itu yang dianggap sensitif dan cadangan itu perlu dibincangkan lebih mendalam kerana boleh memberi kesan kepada dasar dan pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE