BACHOK – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan untuk mengedar sebanyak 822,400 batang rokok seludup bernilai RM745,587 termasuk jumlah cukai dalam dua serbuan di dua lokasi berasingan di Jalan Kampung Mentera, Bukit Marak di sini kira-kira dua minggu lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan pertama kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 9 Mac lalu itu dijalankan selepas menahan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang berada dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai sebanyak 57,200 batang rokok seludup yang bernilai RM10,420 dengan jumlah cukai RM38,794.
“Kira-kira satu jam kemudian, Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu, JKDM Kelantan mengesan dan menyerbu sebuah stor di kampung sama.
“Pemeriksaan lanjut di dalam stor itu membawa kepada penemuan sebanyak 765,200 batang rokok seludup bernilai RM108,492 dengan jumlah cukai RM515,881,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan mendapati, rokok-rokok tersebut dipercayai akan diedarkan di kawasan-kawasan kampung di daerah ini.
Menurutnya, rokok seludup yang dirampas dalam kedua-dua kes itu diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE