PETALING JAYA – Di saat ramai peniaga bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga jualan ekoran kenaikan kos bahan mentah, namun masih ada insan yang berniaga dengan harga yang berpatutan dan mampu dibeli.
Baru-baru ini, tular sebuah gerai di Bazar Ramadan Petronas AU2, Setiawangsa yang menjual pelbagai jenis juadah dengan harga RM5 sebekas sahaja.
Antara yang dijual adalah pajeri terung, tempe goreng, lala masak merah, telur masak lemak, peria goreng dan banyak lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi rasa bersyukur dan tidak sangka masih ada peniaga yang menjual di bazar Ramadan dengan harga mampu milik.
“Bagus idea ini buat suri rumah yang penat bekerja dan penat memasak. Kekalkanlah harga semoga rezeki peniaga ini dimurahkan,” komen @CempakaSari.
“Bekas pun elok dah balik hidang terus. Pinggan mangkuk pun tak payah basuh jimat sabun dan air,” balas @SyafikahHandri. – KOSMO! ONLINE