fbpx

Rakan-pemandu, penghantar Grab Malaysia berkongsi kesyukuran Ramadan Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem pendek Kebaikan Dalam Setiap Pesanan mempersembahkan penonton sisi tersembunyi Rakan Grab.

PETALING JAYA – Sempena bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, Grab Malaysia memperkenalkan filem jenama terbarunya, ‘Kebaikan Dalam Setiap Pesanan’ yang meraikan makna kesyukuran serta kebaikan dalam setiap penghantaran dan perjalanan.

Inisiatif berkenaan memaparkan kisah-kisah sebenar yang menyentuh hati daripada rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab, memberikan mereka platform untuk berkongsi perkara yang paling mereka syukuri pada musim ini.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, Ramadan dan Raya adalah musim untuk bermuhasabah, berbudi dan bersatu.

“Melalui Kebaikan Dalam Setiap Pesanan, kami ingin meraikan kebaikan harian yang berlaku dalam komuniti kami, sambil merakamkan penghargaan kepada rakan-pemandu dan rakan-penghantar atas dedikasi serta usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah.

“Dengan kembalinya program Umrah Bersama Rakan Grab, kami berusaha membalas jasa dengan menawarkan peluang kepada rakan-rakan kami untuk mengecapi keberkatan menunaikan umrah.

“Inisiatif ini menjunjung nilai inklusif dan aksesibiliti, mengiktiraf kepelbagaian impian dan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Membawakan kisah-kisah benar sepanjang musim perayaan ini, Grab Malaysia akan berkongsi cerita sebenar daripada rakan-pemandu dan rakan-penghantar, memaparkan bagaimana perbuatan baik yang dilihat kecil mampu memberi kesan berganda dalam komuniti mereka.

Kisah-kisah ini mendedahkan apa yang paling mereka syukuri pada Ramadan Raya ini serta memberi gambaran tentang kehidupan mereka dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Setiap naratif merakamkan semangat Ramadan dan Raya serta menonjolkan kesan berganda daripada perbuatan baik, memupuk semangat kemasyarakatan dan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Umrah Bersama Rakan Grab

Melengkapi siri ini, Grab Malaysia sekali lagi memperkenalkan Umrah Bersama Rakan Grab yang memberi peluang kepada komuniti rakan-pemandu dan rakan-penghantar, beserta keluarga mereka untuk memenangi pakej umrah dengan berkongsi kisah kesyukuran mereka yang penuh makna.

Pemenang Umrah Bersama Rakan Grab tahun lalu, dari kiri ke kanan: Nor Fadzliana dan ibu, serta Muhammad Faizal dan isteri.

Bagi pemenang tahun lepas, seorang rakan-pemandu dari Kuala Lumpur, Nor Fadzliana, pengalaman tersebut telah mengubah hidupnya.

“Melihat Kaabah dengan mata sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia adalah perkara yang tidak pernah saya bayangkan, tetapi Grab menjadikannya kenyataan.

“Setiap kali saya bercerita tentang perjalanan umrah saya, air mata saya bergenang. Ini lebih daripada sekadar ganjaran – ia adalah impian yang tercapai.

“Dapat berkongsi perjalanan suci ini bersama ibu menjadikannya lebih Istimewa dan ia benar-benar satu pengalaman yang mengagumkan,” katanya.

Seorang lagi pemenang yang juga rakan-pemandu, Muhammad Faizal dari Pulau Pinang pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu rahmat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Ketika saya melangkah masuk ke Masjidil Haram​ dan melihat Kaabah, hati saya dipenuhi kedamaian.

“Menunaikan Umrah bersama isteri bukan sekadar perjalanan, tetapi hadiah yang mendalamkan keimanan dan mengukuhkan ikatan kami.

“Saya juga dapat membawanya menziarahi kubur ayah saya di Makkah, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna. Kami akan sentiasa menghargai perjalanan ini, dan saya bersyukur kepada Grab kerana menjadikannya kenyataan,” ujarnya.

Melalui inisiatif-inisiatif ini, Grab Malaysia berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengenali impak perbuatan baik yang kecil dan membawa semangat kemurahan hati melewati musim perayaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI