PORT DICKSON – ‘Pak cik petai’ yang tular sejak semalam bersyukur kejadian tidak diingini itu memberi hikmah buat mereka sekeluarga.
Mohd. Noor Saad, 67, berkata, dia tidak menyangka kejadian pada Khamis lalu ketika hampir waktu solat asar itu menjadi tular sehingga mendapat pelbagai reaksi warganet.
Katanya yang menetap di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, sebelum itu dia sudah ditegur penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk tidak berniaga di lokasi berkenaan, namun masih melayan pelanggan.
“Selepas itu saya beredar dan kembali berhenti di tapak parkir pula. Saya bukan berniaga selalu pun, cuma masa musim petai sahaja. Sasaran saya rezeki orang keluar masuk membeli di pasar raya.
“Alhamdulillah, walaupun kejadiannya begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran dan Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid telah datang menziarah saya di rumah pukul 9 malam semalam.
“Ada yang beri beras, ada yang beri duit, malah mereka juga menyatakan akan membuat lawatan susulan ke rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada masa terdekat bagi tujuan baik pulih.
“Harap semua pihak bertenang kerana kes sudah pun selesai. Kadangkala kita tak tahu dari satu peristiwa itu Allah nak bagi hikmah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia baru sahaja kira-kira enam hari berniaga petai di kawasan Sunggala Gateway dengan membawa kira-kira 25 ikat petai bernilai RM10 setiap seikat.
“Bagaimanapun, jika ada yang mahu beli RM5 saya akan bagi ikut bajet. Saya mudah tolak ansur itu sebab mereka suka membeli dengan saya selain jualan rumah ke rumah,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam kejadian tersebut, dia yang kembali meniaga di situ dihampiri penguat kuasa yang masih meronda di kawasan yang sama dan diminta MyKad serta dimaklumkan barang niaganya akan dibawa ke pejabat bagi tujuan pembuktian.
“Itu yang saya buang daripada beri kepada mereka dan kena bayar saman pula. Untung meniaga ni pun tak seberapa cuma untuk keperluan saya serta isteri yang bertaraf penduduk tetap,” katanya. – KOSMO! ONLINE