COPENHAGEN – Jurulatih Portugal, Roberto Martinez meluahkan kekecewaan dengan prestasi hambar pasukannya dalam kekalahan 0-1 kepada Denmark pada aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara.
Portugal gagal mencipta ancaman berbahaya sebelum Rasmus Hojlund menjaringkan gol kemenangan Denmark pada minit ke-78 sekali gus memberikan kelebihan buat tuan rumah menjelang aksi timbal balik.
Malah, Portugal bernasib baik apabila Christian Eriksen gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama, selain Denmark juga mendominasi dengan 23 percubaan, termasuk sembilan tepat ke sasaran.
Martinez tanpa berselindung mengakui Denmark bermain dengan lebih intensiti dan agresif berbanding anak buahnya dan menyifatkannya sebagai persembahan terburuk dalam tempoh dua tahun Portugal.
“Ini adalah persembahan terburuk kami dalam dua tahun terakhir. Kami tidak bermain dengan suasana dan intensiti yang sama seperti Denmark.
“Kami perlukan perlawanan seperti ini. Selepas rehat lima bulan, kami tidak memulakan permainan dengan intensiti yang diperlukan. Denmark memberikan tekanan yang sangat berkesan,” katanya.
Meskipun Portugal menguasai penguasaan bola dan memenangi lebih banyak pertarungan fizikal berbanding Denmark, mereka gagal memanfaatkan peluang yang ada.
Lebih membimbangkan, Portugal kehilangan penguasaan bola sebanyak 103 kali sepanjang perlawanan dengan enam pemain mencatatkan 10 kehilangan bola atau lebih dan kini mereka perlu bangkit dalam aksi kedua jika mahu mengelakkan penyingkiran awal daripada kejohanan. – AGENSI