fbpx

[VIDEO] Laluan LTU di Kuala Lipis tidak akan dibuka sebelum Aidilfitri – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang tular di media sosial tentang pembukaan laluan LTU sempena Aidilfitri nanti.

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya menafikan dakwaan mengenai pembukaan laluan seksyen 4A Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang membabitkan sebahagian jalan dari Raub-Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang -Kuala Lipis-Raub.

Ini kerana kata Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laluan masih lagi dalam peringkat pembinaan dan tarikh jangkaan siap semasa ialah pada 26 Ogos depan.

Bagaimanapun katanya, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), kemajuan proses pembinaan laluan itu sudah mencapai 83.21 peratus.

“Saya memahami keterujaan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan baharu ini terutama ketika pulang berhari raya nanti, bagaimanapun jangan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Penyebaran berita yang tidak sahih seumpama ini boleh mengundang bahaya dan merisikokan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya juga berharap laluan itu dapat dibuka dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk keselesaan semua pengguna jalan raya terutama rakyat Pahang dan Kelantan yang berada di perantauan.

“Namun, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya, saya memohon semua pihak bersabar agar laluan ini dapat disiapkan dengan sempurna dan terbaik,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video yang mendakwa laluan seksyen 4A Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang membabitkan sebahagian jalan dari Raub-Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang -Kuala Lipis-Raub akan dibuka sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Menerusi klip video terbabit, perakam mendakwa bahawa laluan terbabit hampir siap dan ketika ini kerja-kerja akhir sedang dijalankan sebelum laluan itu dibuka kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI