PORT DICKSON – “Saya sekarang dalam usaha kumpul duit untuk pembedahan membuang selaput mata kiri isteri di hospital kerajaan. Anggaran kos dahulu sekitar RM1,500. Itu yang saya meniaga juga kecil-kecilan.”
Itu kata Mohd. Noor Saad, 67, atau dikenali ‘pak cik petai’ yang tular sejak semalam selepas dia mencampak petai yang dijualnya ke atas jalan kerana tidak dibenarkan berniaga oleh penguat kuasa.
Mohd. Noor memberitahu, sehingga kini dia masih belum berjaya mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan itu biarpun turut mendapat bantuan bulanan warga emas sebanyak RM500 sebulan.
“Saya ada diberi borang bagi permohonan berniaga sementara dan akan melengkapkannya tidak lama lagi. Saya harap dapat terus berniaga selepas ini,” katanya.
Semalam, Mohd. Noor menerima ganti rugi susulan kerugian ditanggungnya.
Ganti rugi tersebut adalah sumbangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran kepada peniaga petai itu, Mohd. Noor Saad.
Semasa lawatan ke rumah Mohd. Noor, ia turut dihadiri oleh Yang di-Pertua MPPD, Hasnor Abdul Hamid, Setiausaha MPPD, Mohd. Azizul Hakim, Unit Penguat Kuasa, Unit Perlesenan serta Ahli Majis Perbandaran, A. Segaran. – KOSMO! ONLINE