JOHOR BAHRU – Hospital Pasir Gudang yang dibina dengan kos lebih RM380 juta dijangka akan mula beroperasi pada pertengahan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pada masa ini, kerja-kerja pembinaan fizikal telah siap 100 peratus, namun masih terdapat beberapa peralatan perubatan dan pelbagai sistem yang sedang dipasang.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan menjalankan ujian ke atas semua sistem dalam tempoh terdekat bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan semua aspek pembinaan dan kelengkapan memenuhi piawaian teknikal, kejuruteraan serta perubatan yang ditetapkan.
“Pemasangan dan ujian sistem dijangka akan siap pada 12 Jun ini dan hospital Pasir Gudang ini akan diserahkan kepada KKM untuk mulakan operasi secepat mungkin,” katanya. Terdahulu Tian Soon mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melawat Hospital Pasir Gudang bagi meninjau perkembangan projek dan mendengar taklimat kemajuannya.
Hospital Pasir Gudang dibina dengan kos lebih RM380 juta dan telah memulakan pembinaannya secara rasmi sejak 2020. – KOSMO! ONLINE