KLANG – Kerajaan Selangor melancarkan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai inisiatif sekuriti makanan bagi negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah 5,000 tan beras dan satu juta kilogram (kg) daging sejuk beku telah berjaya dikumpulkan bagi projek rintis GMS.
“Kita akan menambah lebih banyak bahan makanan seperti daging, ikan dan lain-lain lagi bagi GMS.
“Kesemua bahan makanan ini boleh didapati di Ehsan Mart dan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dianjurkan di semua daerah dalam Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran GMS di Tiong Nam Logistic di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bilik sejuk beku di gudang Tiong Nam merupakan pusat sementara GMS sebelum gudang sebenar program itu siap.
Ujar Amirudin, gudang sebenar akan dibina di Kuala Selangor dengan keluasan 10 hektar.
“Kebenaran merancang (KM) telah dipohon kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi membina gudang tersebut. Sebaik sahaja terima KM, kita akan bina gudang itu yang dijangka siap dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE