KUALA KRAI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan meneruskan pemantauan di Kampung Laloh di sini bagi mengesan gajah liar yang menyerang seorang warga emas dan anggota Perhilitan kelmarin.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pemantauan berkenaan membabitkan seramai lapan anggota termasuk pegawai Unit Tindakan Gajah (UTG).
“Anggota dan pegawai yang terlibat dengan pemantauan itu dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjejaki gajah liar di kawasan yang dikenal pasti.
“Saya percaya gajah liar yang menyerang manusia ini tidak berada dalam kumpulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang wanita warga emas cedera parah selepas dipercayai dirodok gading seekor gajah sebelum dipijak haiwan tersebut dalam kejadian di Kampung Laloh di sini kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semasa mangsa, Zainab Mat Husin, 63, sedang menoreh getah di kawasan kebun yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Selain itu, anggota Perhilitan Kelantan, Mohd. Doral Ibrahim, 40, turut diserang haiwan liar itu semasa menjalankan tugas untuk mengesan gajah yang menyebabkan kecederaan terhadap warga emas berkenaan. – KOSMO! ONLINE