JOHOR BAHRU – Pasaraya Econsave Cash and Carry (Econsave) hari ini tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor bagi meringankan kesusahan yang dialami mereka.
Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran berkata, pihaknya telah menghantar hampir 400 pek bantuan mengandungi barangan keperluan seperti biskut, air minuman, sabun antiseptik dan set penjagaan diri.
“Bantuan ini telah disalurkan kepada 30 keluarga di Taman Aman, 50 keluarga di SMK Senai dan 45 keluarga di SK Senai.
“Selain itu, pasukan kami juga membantu membersihkan Surau Desa Mutiara serta beberapa rumah penduduk yang terjejas teruk akibat lumpur tebal,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang mengalami kerosakan harta benda, terutamanya peralatan elektrik dan perabot yang tidak dapat diselamatkan sama sekali akibat ditenggelami air. – KOSMO! ONLINE