KULAI – Lubang permukaan jalan yang mengorbankan nyawa dua beradik di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara di sini semalam ditampal ala kadar sahaja.
Malah tinjauan di lokasi kejadian mendapati masih terdapat beberapa lubang yang masih tidak diturap berdekatan dengan lokasi kemalangan yang meragut dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang.
Mereka yang terkorban ialah Norhazim Kamaruzaman, 17, dan pembonceng yang juga adiknya, Nur Alif Ikhwan, 16.
ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Syukor berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak konsesi yang mengambil langkah mengatasi masalah jalan berlubang itu seperti melepaskan batuk ditangga.
“Saya ada buat tinjauan lokasi di mana dua beradik yang maut akibat kemalangan jalan raya semalam, mereka naik motosikal nak ke sekolah terlanggar lubang.
“Apabila kita turun tengok, jalan ditampal ala kadar, buat laporan semalam kata konsesi dan ‘repair’ (baiki) hantar gambar cantik bila kita turun tengok tempat itu sahaja ditampal tempat lain tak tampal padahal ada lagi beberapa lubang-lubang yang ada dekat sangat jaraknya.
“Dengan tidak pasang papan tanda keselamatan, banyak lagi jalan berlubang, kaki lima jalan pecah, nak tunggu orang mati lagi dulu baru nak buat kerja,” soalnya.
Mohd. Jafni berkata, pihaknya turut menggesa pihak atas konsesi memantau kerja-kerja yang dilakukan sub-kontraktor yang dilantik.
“Pihak konsesi yang dilantik, anda dah dapat projek untuk jaga jalan ini, jalankan tanggungjawab betul-betul, jangan lepas tangan kepada anak buah sahaja.
“Kepada pihak JKR juga, saya seru agar pantau kerja-kerja konsesi yang telah dilantik.
“Jangan sampai ada lagi kes kemalangan maut baru terhegeh-hegeh nak buat kerja tampal itu ini, buat kerja pun ala kadar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata meskipun lokasi kejadian bukan di bawah kawasan DUN Bukit Permai, namun mangsa yang terlibat merupakan generasi kedua Felda Inas yang terletak di bawah kawasan DUN Permai.
“Apabila berlaku kes-kes macam ini, orang ramai salahkan wakil rakyat kata tak buat kerja, padahal tengoklah sendiri, kontraktor buat kerja macam mana,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi semalam, Nurhazim dan Nur Alif yang menaiki motosikal Yamaha Y110 terbunuh selepas cedara parah terjatuh setelah motosikal melanggar lubang ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. – KOSMO! ONLINE